"When a man tells you something in confidence, you must not betray his trust." (Abu Dawud, on the Authority of Jabir ibn ‘Abdullah)
Khamis, Mac 20, 2014
Step back
Jumaat, Februari 21, 2014
Ukhuwwah, Syiar Dakwah Kita
Begitu sarat dengan mesej yg deep dan takkan habis mutiara untuk dikutip walau dibaca berulang2 kali.
Bertasbih ketika waktu sahur yang amat berharga dan berinteraksi secara ukhwwah keimanan, merupakan dua paksi yang saling memerlukan yang menjadi binaan sesebuah jamaah Islam. Kedua-duanya juga adalah mata air yang sentiasa memancarkan kebaikannya kepada para pendakwah, tidak pernah kering.
Kedua-duanya merupakan paksi penting yang menjadi asas binaan sesebuah jamaah Islam. Dengan keduanya, jamaah tersebut dapat melaksanakan tugasnya yang amat berat dan sukar. Jika salah satu daripada keduanya runtuh, maka tidak terdapatlah apa yang dinamakan sebagai jamaah Islam. Sehubungan dengan itu, tiadalah tugas atau peranan yang boleh dimainkannya.
Bertaqwa Terlebih Dahulu
Tasbih yang dilakukan menjadi lambang keimanan dan penyerahan diri kepada Allah swt. Keimanan pula adalah lambang kepada tasawwur yang seimbang dan jaminan kepada peneguhan pendirian berhadapan dengan mara bahaya perjalanan.
“Paksi keimanan dan ketaqwaan yang pertama ialah ketaqwaan yang mencapai tahap menyempurnakan segala hak Allah yang maha mulia… Iaitu taqwa yang berterusan, yang sentiasa sedar, yang tidak lalai dan tidak menjadi lemah walaupun seketika, sehinggalah menemui ajal. Firman Allah swt:
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa...”
Maksudnya, bertaqwalah kepada Allah sebagaimana sepatutnya. Demikianlah perintah taqwa itu dibiarkan begitu sahaja tanpa mempunyai batasan had tertentu agar hati dapat berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai had taqwa yang ditanggapinya sendiri dan yang termampu olehnya. Setiap jarak yang dijalani oleh hati melalui taqwa ini, akan menyebabkan terbuka baginya beberapa ufuq dan menimbulkan beberapa keadaan kerinduan. Setiap kali dia dapat menghampirkan dirinya kepada Allah dengan perasaan taqwanya, maka perasaan rindu dendamnya akan bangkit untuk menuju kepada maqam atau martabat yang lebih tinggi daripada apa yang telah dicapainya. Akhirnya dia akan sampai kepada maqam yang menyebabkan hatinya sentiasa berjaga, tidak tidur lagi!
Firman Allah swt:
وَلاَ تَمُوتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُونَ
Maksudnya: “…dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.”
Kematian adalah perkara ghaib yang tidak diketahui oleh seseorang bila dia akan menghadapinya. Sesiapa yang mahu agar dia tidak mati melainkan dalam keadaan Islam, maka caranya ialah dengan dia menjadi muslim bermula saat ini dan dalam setiap keadaan dan masa seterusnya. Dalam ayat di atas, perkataan Islam disebut selepas perintah supaya bertaqwa. Ini bagi menunjukkan makna Islam yang luas; menyerah diri. Menyerah diri kepada Allah dengan mentaatiNya, mengikut manhajNya dan berhukum dengan kitabNya. Inilah pengertian yang dipertegaskan oleh seluruh isi surah Ali ‘Imran pada setiap ayatnya.
Ini merupakan paksi pertama yang menjadi asas sesebuah jamaah Islam agar kewujudannya direalisasikan dan peranannya dapat dilaksanakan dengan baik. Kerana tanpa paksi ini, semua perkumpulan akan bertukar menjadi perkumpulan jahiliyyah. Dengan itu, tiada kepimpinan yang boleh memandu kemanusiaan di atas muka bumi. Cuma yang ada ialah kepimpinan jahiliyyah.”
Iman kepada Allah adalah suatu perkara yang diperlukan bagi memberikan neraca yang benar terhadap nilai-nilai. Ia juga diperlukan bagi memberikan definisi yang betul terhadap perkara ma’ruf dan mungkar. Istilah yang diberikan oleh sesuatu kumpulan manusia sahaja tidak memadai, kerana mungkin kefasadan telah melata hingga menyebabkan neraca mengenai kebaikan dan keburukan telah rosak dan tidak dapat berfungsi lagi. Oleh itu, kita hendaklah merujuk kepada tanggapan yang thabit (tetap) mengenai kebaikan dan kejahatan, mengenai kepujian dan kekejian, mengenai ma’ruf dan mungkar. Ia pula hendaklah bersandarkan kepada suatu kaedah yang lain daripada istilah sesuatu generasi manusia.
Inilah apa yang dipastikan oleh iman, iaitu menegakkan tanggapan yang benar bagi kewujudan ini dan hubungannya dengan penciptanya. Sebagaimana ia juga menegakkan tanggapan yang benar bagi manusia dan matlamat kehidupannya serta kedudukannya yang sebenar di dalam dunia ini… Daripada tanggapan yang umum ini, lahirlah segala kaedah-kaedah akhlak. Daripada matlamat untuk memperolehi keredhaan Allah dan mengelakkan daripada terkena kemurkaanNya, manusia terdorong untuk merealisasikan kaedah-kaedah tersebut. Melalui penguasaan Allah terhadap perasaan manusia dan melalui kekuasaan syariatNya terhadap masyarakat, kaedah-kaedah ini juga dapat dipelihara.
Iman juga diperlukan agar para pendakwah yang menyeru kepada kebenaran dan mencegah kemungkaran dapat meneruskan perjalanan mereka yang amat sukar ini dan menanggung bebanan kesulitannya, iaitu ketika mereka menghadapi taghut kejahatan yang banyak melakukan kejahatan dan kekejian. Dalam masa yang sama mereka juga terpaksa menghadapi taghut syahwat yang menggila dan membujuk. Mereka juga menghadapi semangat yang menjunam, ketumpulan keazaman dan ketamakan yang mencengkam… Bekalannya mereka hanyalah keimanan. Persediaan mereka ialah keimanan. Sandaran mereka hanyalah Allah… Segala bekalan selain daripada bekalan iman pasti akan habis. Segala persediaan selain daripada persediaan iman adalah tumpul. Segala sandaran selain daripada sandaran Allah akan runtuh.
Iqbal telah berbicara tentang apa yang dapat dilakukan oleh iman iaitu penyatuan tasawwur (tanggapan) yang disedari juga oleh Sayyid Qutb. Iqbal berkata:
“Disatukan bagi kita pandangan dan pemikiran, dijadikan seperti satu mata panah yang dihimpunkan di dalam bekas menyimpan anak panah.
Kita adalah pemikiran dan khayalan yang sama. Serta pengharapan dan kesudahan yang sama.”
Inilah tahap penyatuan yang paling maksimum boleh dicapai dengan wasilah yang paling minimum. Dengan penyatuan tersebut, pandangan menjadi satu, bahkan pemikiran dan khayalan juga satu. Di samping itu, pengharapan dan kesudahan juga satu. Semuanya dikurniakan oleh iman. Alangkah mudahnya dialog yang berlaku antara hati-hati yang memiliki iman yang mempunyai kurniaan-kurniaan yang amat berharga ini.
Keduanya Ialah Ukhuwwah
“Manakala paksi kedua pula ialah ukhuwwah… Ukhuwwah kerana Allah, berdasarkan manhaj Allah, demi merealisasikan manhaj Allah.
وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلاَ تَفَرَّقُوا وَاذْكُرُوا نِعْمَةَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنْتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُمْ بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنْتُمْ عَلَى شَفَا حُفْرَةٍ مِنْ النَّارِ فَأَنْقَذَكُمْ مِنْهَا كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ
Maksudnya: “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu daripada neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya.”
Jadi ukhuwwah ini sebenarnya lahir daripada taqwa dan Islam… Iaitu daripada paksi yang pertama… Asasnya ialah berpegang teguh dengan tali Allah (iaitu janji, manhaj dan agamaNya), bukan sekadar perkumpulan atas apa-apa tasawwur atau matlamat lain, dan tidak juga dengan perantaraan tali lain yang merupakan tali jahiliyyah yang banyak itu.
وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلاَ تَفَرَّقُوا
Maksudnya: “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai.”
Ukhuwwah yang berpegang teguh dengan tali Allah ini merupakan salah satu daripada nikmat Allah swt yang diungkit oleh Allah swt terhadap jamaah Islam yang pertama. Ia adalah nikmat yang dikurniakan Allah kepada sesiapa sahaja daripada kalangan hamba yang dikasihinya.
“Demikianlah bagaimana jamaah Islam yang pertama di Madinah tertegak di atas dua paksi ini… Iaitu paksi keimanan kepada Allah, dengan keimanan yang lahir daripada makrifat kepada Allah, penggambaran sifatNya di dalam perasaan, serta taqwa dan muraqabah kepadaNya. Di samping kesedaran dan kesensitifan yang luar biasa, serta kecintaan yang melimpah dan suci. Juga kemesraan yang manis dan indah, di samping tolong menolong (takaful) yang serius dan mendalam… Jamaah tersebut berjaya mencapai tahap yang tinggi di dalam semua perkara tersebut. Jika bukan kerana keadaan tersebut telah memang berlaku, necaya ia hanya dianggap sebagai angan-angan orang yang bermimpi! Kisah persaudaraan yang berlaku di antara kaum Muhajirin dan Ansar merupakan satu kisah yang memang telah berlaku di alam realiti. Tetapi pada tabiatnya, ia lebih menyerupai mimpi sahaja, sedangkan ia memang sebuah kisah yang telah berlaku di atas muka bumi ini. Tetapi dari segi tabiatnya, ia lebih menyerupai kisah yang berlaku di alam kekal abadi dan alam syurga.
Hanya dengan keimanan dan ukhuwwah yang seumpama ini sahajalah, manhaj Allah akan dapat ditegakkan di atas muka bumi pada setiap ketika.”
Oleh itu, percubaan untuk kembali menegaskan semula pengertian ukhuwwah merupakan satu bahagian daripada proses menghidupkan fiqh dakwah. Ini kerana ukhuwwah merupakan deklarasi dakwah kita, bahkan ia adalah syiar dan nama dakwah kita. Ia juga merupakan perjanjian yang kita meterai dan ketetapan yang telah ditetapkan. Dakwah kita yang diberkati ini sentiasa didatangi oleh pandangan-pandangan baru yang mempunyai pelbagai pengalaman yang segera mencari setiap wasilah yang boleh membawa kepada kelebihan ukhuwwah serta menghimpunkan para pendokongnya di atas dasar berkasih sayang dan saling memaafkan. Garis penyempurna kepada batu tanda yang besar ini ialah selepas anda dapat melihat kesatuan pandangan, pemikiran, khayalan, pengharapan dan kesudahan, anda dapat melihat pula kesatuan hati dan ruh, bahkan kadang-kadang kesatuan lafaz yang digunakan. Mereka melaungkan slogan yang sama menggunakan huruf yang hampir serupa dan menggambarkan kefahaman yang sama. Ia sebagaimana dikehendaki oleh Iqbal, ketika beliau berkata:
“Disebabkan nikmatNya, kami adalah saudara yang bersetia. Hati, ruh dan lafaz kami adalah sama.”
Iqbal tidak berpuas hati dengan kesatuan hati sahaja, bahkan dia juga mahukan kesatuan lafaz dan perkataan.
Kontrak Ukhuwwah
Kesatuan ini terus berkembang sehingga menjadi suatu kontrak yang mesti dipenuhi. Ibn Taymiyyah telah berbicara tentang kontrak ukhuwwah ini. Beliau menjelaskan bahawa hak-hak yang diterbitkan oleh kontrak tersebut jika ia daripada jenis yang diperakukan oleh Rasulullah saw dalam hadith-hadith baginda saw bagi setiap orang mukmin terhadap orang mukmin yang lain, maka ia adalah: Hak-hak yang wajib ditunaikan berdasarkan keimanan itu sendiri. Hukum berpegang atau komitmen dengannya juga adalah sama dengan hukum berpegang dan komitmen untuk melakukan sembahyang, zakat, puasa dan haji. Berjanji setia terhadapnya adalah sama dengan berjanji setia terhadap sesuatu yang telah diwajibkan oleh Allah swt dan RasulNya. Tanggungjawab ini sudah memang terpikul ke atas bahu setiap orang mukmin sekalipun tidak berlaku sebarang janji setia atau kontrak ukhuwwah tersebut.
Kontrak atau janji setia yang dilakukan hanya untuk menguat dan mempertegaskan sahaja. Tidak berlaku perselisihan dalam masalah ini, kecuali dalam masalah pewarisan ketika tidak ada hubungan kerabat (qarabah). Golongan Muhajirin dan Ansar saling mewarisi berdasarkan kontrak ukhuwwah yang diperakukan oleh Rasulullah saw ketika awal kedatangan baginda ke Madinah. Tetapi kebanyakan fuqaha’ mengatakan hukum tersebut telah dinasakhkan. Namun, Abu Hanifah dan Imam Ahmad bin Hanbal dalam salah satu riwayat daripadanya mengatakan ia (pewarisan antara dua orang mukmin yang dipersaudarakan melalui kontrak ukhuwwah dan tidak mempunyai hubungan qarabah) boleh dilakukan.
Kontrak ukhuwwah yang dilakukan ini menambah kuatkan lagi kewajipan keimanan ini. Kami berpendapat ia adalah sama dengan bay’ah kedua yang dilakukan oleh Salamah ibn al-Akwa’ r.a. bagi menegaskan lagi bay’ah pertama, kerana kedua-duanya berlaku pada masa yang sama pada hari al-Hudaybiyyah semasa memberi bay’ah di bawah sebuah pohon. Ini sebagaimana diriwayatkan dalam Sahih al-Bukhariyy. Kata Salamah:
“Kami berbay’ah dengan Rasulullah saw di bawah pohon. Lalu baginda bersabda kepadaku: “Wahai Salamah! Tidakkah engkau mahu berbay’ah?” Aku menjawab: “Wahai Rasulullah! Aku telah berbay’ah pada kali yang pertama.” Rasulullah berkata: “Untuk kali kedua?”
Demikianlah juga dengan orang-orang Islam. Islam mewajibkan kepada mereka beberapa hak yang perlu ditunaikan kepada sebahagian mereka yang lain. Lalu mereka saling berbay’ah terhadap kontrak ukhuwwah untuk kali keduanya, demi menambah kebaikan, mencari penegasan dan sebagai elemen peringatan. Ini agar jamaah yang ditubuhkan menjadi suatu jamaah yang kukuh, mantap dan kuat sebagaimana disifatkan oleh Iqbal r.h. dalam bukunya:
“Setiap orang yang bersatu dengan saudaranya, umpama permata yang diikat kemas pada kalung.
Pertarungan hidup menjadikan mereka bersatu. Setiap orang berpegang pada saudaranya.
Akibat tarikan yang bertalu-talu daripada bintang-bintang. Iaitu bintang-bintang yang amat kuat tarikannya.”
Demikianlah, tiada tugas yang dilaksanakan oleh pendakwah hari ini yang lebih berharga daripada dia keluar berpagi-pagian demi kerana dakwahnya dengan kurniaan daripada Allah swt. Dia bertindak aktif menyemai dirinya, lalu meneguhkannya. Dirinya akan terus kuat dan kukuh di atas kontrak ukhuwwah, lalu ia mengagumkan para pendakwah yang lain dan menyebabkan golongan kuffar merasa marah.
Neraca Persahabatan
Demikianlah bagaimana ukhuwwah di kalangan para pendakwah menjadi rukun yang penting dalam pentarbiahan kita selepas sembahyang dan tasbih. Mana-mana bahagian harakah Islamiyyah yang menerjahkan dirinya ke dalam aktiviti umum sebelum memperkukuhkan hakikat ukhuwwah keimanan ke dalam diri anggotanya pasti akan merasa akibat buruk daripada sikap bermudah-mudah dan kecuaiannya itu. Oleh itu, ia hendaklah memulakan langkahnya dalam jalan keimanan ini dengan mengambil kesempatan daripada minit-minit malam yang berharga. Dalam masa yang sama, segala adab ukhuwwah juga diterjemah melalui saling menasihati, saling membantu dan saling berkasih sayang yang menghimpunkan hati dan mengajarkannya bersifat lemah lembut (jika tidakpun hanya berpura-pura bersifat lemah lembut) ketika orang yang cuai lambat melaksanakan tugas atau orang yang terlalu mendesak melampau batasan sepatutnya. Sebagaimana adab ukhuwwah itu juga mengajarkan bahawa ganjaran, balasan dan kesyukuran akan diperolehi oleh orang yang segera melaksanakan tugas dan apabila orang merendah diri bersikap adil.
Imam Hasan al-Banna menggalakkan adab ini dipraktikkan oleh para pendakwah. Beliau menggariskan suatu manhaj bagi sesuatu jamaah agar mereka mempertingkatkan ukhuwwah mereka daripada tahap perkataan dan teori kepada tahap perbuatan dan amali.
Beliau r.h. melihat bagaimana ukhuwwah yang berlaku di kalangan para pendokong awal dakwah yang menenangkan hatinya ketika beliau masih hidup lagi. Selepas kematiannya, beliau juga melihat bukti kesetiaan para sahabat yang mengasihinya bahawa mereka mesti sentiasa mempraktikkan adab yang baik ini. Mereka juga hendaklah kembali kepadanya sebaik sahaja mereka sedar setelah terjerumus ke lembah kealpaan.
Itulah nikmat ukhuwwah.
Umar ibn al-Khattab r.a. menjadikannya sebagai kurniaan rabbani yang paling berharga untuk hambaNya selepas nikmat Islam. Beliau berkata: “Tiada kurniaan yang lebih baik selepas Islam selain daripada seorang sahabat yang salih. Oleh itu, jika seseorang daripada kamu mendapati saudaranya mengasihinya, maka dia hendaklah berpegang teguh dengannya.”
Sementara itu, Malik ibn Dinar, seorang tabi’iyy, menamakannya sebagai ruh dunia. Beliau berkata: “Tidak ada lagi ruh dunia melainkan tiga sahaja: Bertemu dengan sahabat, bertahajjud dengan al-Quran dan berzikir kepada Allah di dalam rumah yang sunyi.”
Ukhuwwah ini juga dikhususkan dengan sifat khazanah, sebagaimana dinyatakan oleh seorang penyair:
“Demi sesungguhnya, harta seseorang pemuda bukanlah khazanah yang dimilikinya, tetapi sahabat yang dipercayai itulah khazanah yang sebenar baginya.”
Oleh itu, banyak terdapat pesanan daripada golongan salaf agar kita bijak memilih rakan untuk dijadikan sahabat, agar kita memperolehi khazanah dan ruh yang betul. Antara pesanan al-Hasan al-Basriyy, penghulu golongan tabi’in ialah:
“Sesungguhnya engkau mempunyai bahagian pada rakan engkau… Engkau juga mempunyai bahagian apabila rakan engkau disebut… Oleh itu, anda hendaklah pandai memilih rakan, taulan dan majlis yang dihadiri…”
Pada peringkat pertama, mereka menyebutkan sifat baik secara umum dengan menggesa agar pemilihan dilakukan sebaiknya. Mereka menggambarkan tentang perkara ini dengan berkata:
“Kedudukan engkau di sisi manusia disukat berdasarkan siapakah orang yang engkau jadikan rakan taulan.
Bersahabatlah dengan golongan yang baik, agar anda memperoleh ketinggian dan pujian.”
Kemudian mereka mengkhususkan kebaikan itu dengan taqwa. Mereka berkata:
“Bersainglah, jika anda ingin bersaing, dengan penuh hikmah. Jika anda ingin berakan dan bersahabat, pilihlah ahli taqwa.
Tiada kebaikan pada orang yang tidak diharapkan kebaikannya, dan tidak pula terselamat daripada gangguannya.”
Kemudian mereka menambah dan pergi lebih jauh lagi. Mereka membilang sifat-sifat golongan baik yang sepatutnya dijadikan rakan dan taulan itu agar anda dapat membuat pilihan dengan sebaiknya.
* Sifat mereka yang paling tinggi ialah mempunyai perkataan yang baik. Umar r.a. berkata:
“Jika bukan kerana aku dapat berjuang pada jalan Allah, atau jika bukan kerana aku dapat meletakkan dahiku di atas tanah, atau jika bukan kerana aku dapat duduk bersama satu golongan yang hanya mengeluarkan perkataan-perkataan yang baik sebagaimana pepohon mengeluarkan buah-buahan yang enak, nescaya aku lebih suka menemui Allah sahaja (mati).”
* Antara sifat mereka lagi ialah bahawa mereka tidak terlalu bersusah payah (takalluf) dengan engkau dan engkau pula tidak perlu mengambil sikap amat berhati-hati (tahaffuz) ketika berhadapan dengan mereka. Ja’far ibn Muhammad al-Sadiq r.a. berkata: “Sahabatku yang paling membebankan aku ialah seseorang yang terlalu memberat-beratkan dirinya (takalluf) ketika berhadapan denganku, dan aku pula terpaksa mengambil sikap terlalu berhati-hati (tahaffuz) ketika berhadapan dengannya. Sementara sahabatku yang paling menyenangkanku ialah sesiapa yang jika aku bersamanya pun, aku merasa seperti aku berada seorang diri.”
* Antara sifat mereka lagi ialah meninggalkan segala perkara duniawi yang hina itu di samping mempertingkatkan diri ke arah ketinggian. Dalam hal ini, mereka menjadikan Imam Ahmad sebagai bandingan ketika beliau memilih para sahabatnya. Beliau berkata:
“Semua sahabatnya yang rendah darjatnya menjadi orang yang mendapat taufiq. Mereka mematuhi segala titah perintah Allah dan menuju ke arah ketinggian.”
* Antara sifat mereka lagi ialah sentisa saling memperingati tentang akhirat, sebagaimana kata-kata al-Hasan al-Basriyy:
“Sahabat-sahabatku lebih aku kasihi daripada anak dan isteri. Kerana keluarga hanya mengingatkan kita tentang dunia, tetapi sahabat mengingatkan kita tentang akhirat.”
* Antara sifat mereka lagi ialah mementingkan orang lain (al-ithar). Ia adalah salah satu rukun bay’ah oleh seorang penyair, Salih Hayawiyy kepada sahabat-sahabatnya. Beliau berkata:
“Selamanya aku bersama golongan bertaqwa, pendakwah yang amilin.
Yang menyebarkan panji Muhammad agar sentiasa tinggi di pelusuk dunia.
Yang bersikap adil dan mementingkan orang lain.
Bersama merekalah aku akan terus bersama. Iaitu bersama golongan bertaqwa, pendakwah Islam.”
* Antara sifat mereka juga ialah sentiasa menasihati. Salah seorang daripada mereka adalah seorang salih yang sentiasa membantu anda dalam perkara berkaitan agama Allah dan sentiasa memberikan nasihat kerana Allah.
Penyakit-penyakit Majlis
Ketenggelaman ini membawa kepada perhimpunan dan perkumpulan juga. Oleh itu, adalah wajib mengenali manakah majlis yang boleh mendatangkan manfaat dan menjauhi daripada sesetengah keaiban yang terdapat padanya.
Ini disimpulkan oleh keinginan mencari manfaat dalam perkara agama. Ia adalah istilah yang lengkap dan fasal yang ringkas dalam undang-undang ukhuwwah. Ia ditetapkan oleh Zayn al-Abidin Ali ibn al-Husayn ibn Ali r.a. Beliau berkata: “Seseorang hanya boleh duduk di samping seorang lain yang boleh memberikan manfaat dalam perkara agamanya.”
Oleh itu setiap pendakwah yang baru hendaklah menghadiri majlis-majlis yang boleh menambahkan iman dan ilmunya. Dia juga hendaklah hanya mencari majlis yang boleh mendatangkan manfaat kepadanya. Dia tidak boleh menghadiri mana-mana majlis yang melaghakan, dipenuhi permainan, hiburan dan hanya bertujuan untuk menghabiskan masa sahaja.
Perkara ini telah dihuraikan oleh Iqbal dengan satu bayt yang tegas. Beliau mahu agar kita tidak memperpanjangkan lagi perbincangan selepas itu. Beliau berkata ketika berdoa kepada Allah swt:
“Ya Allah pemberi nikmat! Kurniakan kepadaku seorang sahabat yang menjaga kehormatan dan mengetahui tabiat diriku.
Kurniakan kepadaku seorang sahabat yang fasil berkata lagi berakal, yang tidak mempunyai hubungan dengan dunia.”
Kesimpulannya:
Sesunggunya sahabat bagi seseseorang pendakwah Islam ialah seorang pendakwah lain yang tidak mempunyai sebarang hubungan dengan dunia.
Hubungannya hanya dengan akhirat. Kerinduannya hanya kepada syurga.
Tiada hubungan langsung antaranya dengan dunia.
Jika anda mencarinya, pasti anda akan menemuinya.
Kerana dia adalah sahabat anda.
Bersaudaralah dengannya. Kasihilah dia. Berkawanlah dengannya. Berikan kepadanya sebagaimana Allah memberi kepada anda. Jika tidak, anda adalah seorang yang lemah. Ada orang berkata:
“Manusia yang paling lemah ialah sesiapa yang cuai daripada mendapatkan sahabat. Lebih lemah lagi ialah sesiapa yang mensia-siakan sahabat yang sudah diperolehinya.”
Maka carilah sahabat. Kami akan hilangkan sifat lemah daripada anda.
Ibn al-Qayyim mempunyai kata-kata yang ringkas dan merangkumi tentang hal ini. Ia menunjukkan kepada pengalaman seorang pendakwah yang mempunyai kesedaran. Beliau mendiagnos perkara-perkara bahaya yang terdapat di dalam sesuatu majlis. Beliau berkata:
“Terdapat dua jenis perkumpulan bersama sahabat: Pertama: Perkumpulan berdasarkan kejinakan tabiat dan bagi tujuan menghabiskan waktu. Perkumpulan jenis ini lebih banyak mengundang keburukan daripada manfaat. Paling kurang pun, ia akan merosakkan hati dan membuang waktu. Kedua: Perkumpulan di atas dasar tolong menolong bagi memperoleh sebab untuk mendapat kejayaan, saling menasihati atas dasar kebenaran dan kesabaran. Perkumpulan jenis ini mengandungi faedah dan manfaat yang amat besar. Namun tersembunyi di dalamnya tiga jenis penyakit:
Pertama: Berhias sesetengah daripada mereka untuk sesetengah yang lain.
Kedua: Bercakap dan bercampur lebih daripada keperluan.
Ketiga: Ia mungkin akan menjadi syahwat dan kebiasaan yang menyebabkan maksud sebenarnya tidak tercapai.”
Apa yang mendukacitakan ialah kita dapati kebimbangan Ibn al-Qayyim ini menjadi kenyataan yang berlaku kepada sesetengah majlis para pendakwah sekarang. Kita dapati berhias-hias telah lahir pada sesetengah sahabat kita. Kita juga dapati para pendakwah bercampur dan bertemu lebih daripada kadar yang diperlukan oleh dakwah. Bahkan kadang-kadang ia bertukar menjadi umpama menghabiskan masa dan syahwat keinginan yang melalaikan daripada memenuhi maksud sebenar, iaitu perkumpulan serta perhimpunan yang dilakukan bagi melakukan pemantauan terhadap amal yang kita lakukan terhadap para pendakwah baru juga sebagai langkah permulaan melalui masyarakat umum bagi menyampaikan kalimah Islam.
Setiap Orang Merasa Hairan Terhadap Kesalahan Kecil Orang Lain!
Jika kebiasaan berhias dan tidak melakukan kerja ini hanya berhenti setakat itu sahaja, maka rawatan terhadap keduanya amat mudah dilakukan, iaitu dengan hanya memberikan sedikit semangat dan peringatan sahaja. Tetapi jika kedua-dua penyakit ini telah merebak ia akan melahirkan perangai sukar memberikan kemaafan, sedangkan kajian terhadap kehidupan secara berjamaah menunjukkan bahawa akhlak memaafkan dan toleransi adalah suatu keperluan yang tidak dapat dielakkan.
Sesetengah orang mungkin menyangka bahawa peringatan seumpama ini lebih sesuai ditujukan kepada orang awam, bukan berbentuk kajian dalam masalah fiqh dakwah. Tetapi sesiapa yang terlibat dalam pengurusan amal harian dakwah Islam akan memahami tentang kepentingannya dan mengetahui alangkah melampau bahkan alangkah besar bahaya yang tersembunyi di sebalik sesiapa yang merasa bongkak untuk mendengar nasihat ini. Nasihat tentang hakikat seni perancangan dan amal siyasi hendaklah sentiasa dibisikkan kepada telinga mereka yang merasa sempit dada daripada memiliki sifat toleransi dan memaafkan orang lain yang telah melakukan kesalahan atau kesilapan. Penyedaran secara amali kepada pendakwah muslim hendaklah dilakukan serentak dengan tarbiyah akhlak dan keimanan. Kedua-duanya mestilah seiring berjalan.
Inilah yang menjadi punca kenapa golongan pendakwah terdahulu bahkan kini juga amat mementingkan pesanan agar selalu berlapang dada dan berkasih sayang sesama sahabat.
Mereka diketuai oleh al-Fudhayl ibn ‘Iyadh yang berkata: “Sesiapa mencari sahabat yang tidak mempunyai aib, maka dia akan menjadi seorang yang tidak mempunyai sahabat.”
Oleh itu, anda hendaklah meletakkan di dalam perkiraan anda ketika melakukan kontrak ukhuwwah bahawa orang yang anda lakukan kontrak dengannya itu adalah seorang yang bukan maksum.
Kemudian datang pula giliran para penyair untuk memberikan nasihat. Seorang penyair dari timur berkata:
“Tidak mengapa tidak sesuatu dilakukan secara tersalah atau tidak sengaja.”
Berkata pula seorang penyair dari barat:
“Maafkanlah sahabatmu jika dia melakukan suatu kesilapan.”
Berkata seorang lagi penyair:
“Jika terdapat kesilapan pada sahabat anda, maka hendaklah anda berusaha mencari keuzuran kepada kesilapannya itu.
Aku sukakan pemuda yang tidak suka mendengar perkara keji, seolah-olah terdapat pelindung yang melindunginya daripada setiap kekejian.
Pemuda yang berlapang dada, bukan penyebar keburukan, bukan juga penghalang kebaikan dan bukan juga suka berkata sia-sia.”
Tetapi hari-hari yang berlalu menunjukkan betapa ramai yang suka berkata sia-sia. Anda juga dapati ada di antara mereka yang jika anda seru agar berlemah lembut, mereka memasamkan muka dan beredar dalam keadaan marah, seolah-olah anda menyerunya kepada suatu perkara mungkar. Tetapi itulah sikap spontan yang kita mahu bersihkan daripadanya. Itulah serangan musuh yang kita mahu jauhkannya daripada terjerat, kerana kita mengetahui bahawa musuh kita memang sentiasa menunggu-nunggu peluang untuk menyelewengkan jalan ukhuwwah mereka yang lurus.
Kajilah sejarah kita. Berapa ramai orang yang hanya mahu memenangkan dirinya melakukan kegelojohan lalu dia membuat permusuhan. Dengan itu, dia tidak lagi mampu berdiri dan tidak akan memang dalam pertarungan. Bahkan dia dihanyutkan oleh pusingan kehidupan yang kompleks lalu dia dilupakan begitu sahaja. Dia hanya makan dan minum sahaja, sehingga seolah-olah dia sudah tiada lagi.
Kumpulan orang-orang yang marah tadi hanya melakukan kemunduran dan tersesat dalam aliran keduniaan apabila neraca ukhuwwah yang dibina menjadi cacat. Jika mereka terus istiqamah di atas jalan yang mereka lalui dahulu, dan mereka terus mempraktikkan fiqh ukhuwwah yang mereka warisi, nescaya mereka tidak akan disentuh oleh kelesuan dan kepenatan.
Sesungguhnya ilmu yang kita warisi daripada seorang tabi’in, Abu Bakr ibn Abdullah al-Muzaniyy menyatakan bahawa “jika anda mendapati sahabat anda tidak melayan anda sebagaimana biasa, maka itu adalah disebabkan dosa yang telah anda lakukan. Maka anda hendaklah bertaubat kepada Allah. Tetapi jika anda dapati sahabat anda memberikan kasih sayang yang lebih daripada biasa, maka itu adalah kerana ketaatan yang anda lakukan. Maka anda hendaklah bersyukur kepada Allah.”
Oleh itu, jika anda tidak dilayan dengan baik atau jika anda melihat terdapat sedikit kecuaian terhadap hak diri anda, maka periksalah diri anda sendiri, sebelum anda terus melakukan serangan.
Semua kenyataan khazanah lama tentang fiqh ukhuwwah keimanan ini telah dibentuk semula oleh Abdul Wahhab ‘Azzam pada zaman sekarang di dalam dua bayt (rangkap) yang melengkapi di dalam antologinya. Beliau berkata:
“Dalam hatiku kedapatan dua lautan: Tawar dan masin. Padanya terdapat badai dan bayu.
Ia pahit dan bertiup kencang kepada golongan pelampau, tetapi manis dan suci bagi sahabatku.”
Oleh itu wahai pendakwah Islam! Anda dituntut untuk memenuhkan hati anda dengan segala perasaan ukhuwwah kerana Allah terhadap sahabat-sahabat anda seakidah sebanyak mana anda dituntut untuk meletakkan kemarahan terhadap ahli kebatilan yang melampau di dalam hati anda.
Isnin, Disember 30, 2013
Si mujahid dakwah
Waktu pagi dan petangnya, bicaranya, keseriusannya, dan permainannya, tidak melanggar arena yang dia persiapkan untuknya. Tidak melakukan kecuali misinya yang memang telah meletakkan hidup dan kehendaknya di atas misinya. Berjihad di jalannya.
![]() |
| Ingin jadi lebih baik, setiap hari |
Anda dapat membaca hal tersebut pada raut wajahnya. Anda dapat melihatnya pada bola matanya. Anda dapat mendengarnya dari ucapan lidahnya yang menunjukkanmu terhadap sesuatu yang bergolak dalam hatinya, suasana tekad, semangat besar serta tujuan jangka panjang yang telah memuncak dalam jiwanya. Jiwa yang jauh dari unsur menarik keuntungan kecil di sebalik perjuangan.
Adapun seorang mujahid yang tidur sepenuh kelopak matanya, makan seluas mulutnya, tertawa selebar bibirnya, dan menggunakan waktunya untuk bermain dan kesia-siaan, mustahil ia termasuk orang-orang yang menang, dan mustahil tercatat dalam jumlah para mujahidin.”
Begitulah sosok mujahid yang seharusnya kita impikan
Sabtu, Disember 21, 2013
Jadi mukmin biar berani
Aku dengan ini menyatakan kekaguman atas tiupan semangat menggugah yg terbumi dalam setiap bait kata dari bibir sang penyair.
Semangat3!
Selasa, November 12, 2013
Mari menilai semula tentangan terhadap dakwah
Ehem, Rasulullah SAW pun pernah mengalami perkara yg sama.
:)
Zubayr Afiq Zakaria
Jumaat, Julai 26, 2013
Sedikit curhat
Ada beberapa perkara yang berlaku dalam dua minggu belakangan ini yang membuat saya termenung panjang (bahasa kasarnya, stress). Namun, dalam pada itu sempat saya membelek2 Dasar-Dasar Islam. Terhenti saya di sebuah petikan yang menggamit perhatian.
"Kalau anda memang keberatan untuk memenuhi perjanjian, lebih baik anda tidak membuatnya sama sekali, kerana tidak ada seorang pun yang memaksa anda untuk mengucapkan janji hanya di mulut sahaja, kerana suatu perjanjian yang kosong dan hampa tidaklah ada gunanya''
(Dasar-Dasar Islam, al-Maududi)
Petikan daripada Al-Maududi ini yg benar2 membuat saya merenung kembali sejauh mana janji saya untuk terus memberi yang terbaik buat dakwah dan tarbiyah serta melupakan perkara2 yang mengikat diri ini untuk melangkah lebih jauh.
Dan sebesar mana pula yang telah saya capai hasil janji2 tersebut?
Kita sedar dakwah ini menuntut pengorbanan masa, tenaga dan wang ringgit. Malah lebih daripada itu.
Jika anda tak mampu berikan pengorbanan yang terbaik, kenapa berjanji? Jika berjanji (berhasrat/mengimpikan/berkeinginan) pun tak mampu, apa je yang anda mampu?
![]() |
| Ya Allah, ya Haadi, berikan daku petunjuk-Mu. Dekatkan aku dengan Mu... |
P/s: Tulis blog membantu menghilangkan stress ke? Allahu akbar...
Khamis, Jun 13, 2013
Isnin, Mac 11, 2013
Hiduplah dengan penuh makna
Bumi UK bakal menyambut musim sejuk sekali lagi. Akan bersejuk2an dan bersalji2an buat seminggu dua akan datang. Lagi2 Liverpool yg dekat dgn laut nih. Entah kenapa cuaca nampak kurang stabil. Saya jenis yang tak tahan sejuk. Dan saya sendiri tak sure sebab apa. Ceh.
Semalam sesaje (orang paksa sebenarnya. muahaha) ke London memberi sharing tentang 'ghazwul fikr' dgn sahabat2 di sana. Rasa banyak perkara yang dikongsi sangat relevan dgn realiti kini. Banyak perkara juga bila 'direfleksi' semula sgt banyak terkena pada diri sendiri. Baik kesedaran atas ghazwul fikr yg sedang bebas berlaku mahupun saki-baki jahiliyyah masih bersisa dalam diri yg perlu dibuang jauh2.
Ternyata, berubah bukanlah sesuatu yg mudah. Perubahan perlu didorong oleh matlamat yg jelas. Kita akan memperoleh makna besar dalam hidup apabila berjaya mencapai matlamat itu.
Siapa la dalam dunia ini yg tak mahu berubah? Semua orang nak. Tapi ramai mengaku ianya payah dan susah.
Jadi saya sedar, memaknakan hidup bukanlah sekadar dengan kata2. Kerana hidup ini adalah lebih daripada sekadar kata2. Kerana dengan sekadar kata2, tak mampu menjadikan hidup sesuatu yg hidup. Erm pening.
Entahlah. Bagi saya apa yg kita nak dalam dunia ni semuanya perlukan pengorbanan. Erm dan mungkin juga paksaan. Sendiri yg paksa. Bukan orang lain.
Semoga dgn paksaan tu nanti, lahirlah kerelaan yang kita cari2 selama ni. Dan semoga natijahnya juga adalah keikhlasan yg mana menjadi pokok segala bicara amal. Keikhlasan bagi saya, sudah tentu memberi makna dalam kehidupan. Sebesar2nya.
Seems legit?
Semoga kita diberi kekuatan.
Jumaat, Ogos 03, 2012
Kerna Sayang
![]() |
| "Saaayang ummi." bisik yaakub (si kucing) pada ibunya. |
Ultimate level dalam kita melaksanakan sesuatu arahan dan suruhan adalah bila kita melakukannya dengan rasa penuh kasih dan sayang.
Kasih dan sayang terbit bila memahami erti kenapa perlu kita disuruh itu dan ini.
Ada ke orang, bila diminta buat something, hati penuh terpaksa walaupun kerjanya dibuat juga?
Kalau ada, itu normal kot (saya rasalah). Itu lagi baik dari tak buat langsung. Hehe.
Tapi dlm konteks beramal memenuhi tuntutan dan menjauhi larangan Allah, sangat tepatlah kot kalau saya nak aplikasikan formula ini. Lagi2 dlm bulan Ramadhan ni. Sebab kita hari2 solat, gi surau, ngaji, tarawikh, qiam, solat sunat, gi usrah dan mcm2 lagi. Kadang2 kita perlu renew niat kita dlm melakukan every single amal2 harian kita. Supaya semua tu tak jadi 'rutin' semata.
Kalau boleh, taknaklah asek berpenat berlelah buat 'rutin' tapi tak dapat ganjaran, keampunan dan keredhaan Allah yg paling MAKSIMA kan?
Buatlah kerana rasa cinta dan sayang kita kepada Allah s.w.t dan semoga dari situ lahir keikhlasan, kenikmatan dan kelapangan hati. Insya-Allah, sedikit demi sedikit, Allah akan bukakan pintu hikmah dan kebijaksanaan buat kita. Yela kan, kita mungkin tak nampak apa manfaat kebaikan2 yg kita buat sekarang.
Dia kan Maha Mengetahui. Uhuk.
Sekian, Wsalam.
*Moga kita tergolong dalam golongan yang mengejar keampunan Allah setiap masa. (Ali-'Imran:133)
Khamis, Julai 19, 2012
Bukan dan Bukan
Yang sempurna itu bukan aku orangnya.
Yang tegar menolak sapaan al-hawa (hawa nafsu) setiap kali bertembung, jauh sekali aku.
Tapi,
Perlulah wujud usaha ke arah itu.
Moga Ramadan kali ini lebih besar ertinya buat aku.
Moga ianya perubahan yg benar2 dirasai buat diri, hadek2, rakan2, abang, adik2ku, ahli keluarga dan semua yang di sekitarku.
Dan aku, sedang menyeru kamu2 juga walau aku bukan sempurna. Kerna tanggungjawab tak pernah mengenal tahapan2 kesempurnaan.
Semoga anda (Ramadan) dapat membentuk saya menjadi dai'e yg lebih ampuh dan lebih kompeten. Ameen~
Rabu, Mei 09, 2012
Mendaki Kehidupan
![]() |
| Replika Sebuah Pendakian |
Tapi, kita ini kadang2 lupa.
Terlupa langsung yg diri itu sedang dalam pendakian.
Persediaan dan persiapannya pulak suatu prosses memakan masa.
Rabu, Mei 18, 2011
Layangkan Kemanisan Itu
Rabu, September 15, 2010
Amarah
Ahad, Julai 18, 2010
Teruskan Belajar
Rabu, Jun 02, 2010
Just A Little Dedication~
Rabu, Januari 06, 2010
Sesuatu yang Perlu Dipupuk
Bismillahirrahmanirrahim,
Salam buat semua.
Saya ingin kongsikan sebuah peristiwa yang saya alami beberapa minggu lepas.
Saya bukanlah pandai berkongsi sangat, jadi bila berkongsi tentang satu perkara, macam2 perkara lain yang mungkin terkongsi sekali. Oleh itu, saya mengingatkan pembaca supaya membaca dengan minda yang luas dan terbuka agar segala macam perkara itu mampu di ‘grab’ secara total.
Barulah ada manfaatnya anda membaca entri saya ini. Ye tak?
........................
Cuti baru2 ini, saya telah menunaikan solat fardhu Jumaat di sebuah masjid. Kejadian ini berlaku sewaktu saya berada di kampung di Terengganu.
Macam biasa, apabila tiba sahaja di masjid, saya akan menunaikan solat tahiyatul masjid dua rakaat sebelum duduk dan mendengar khutbah. Setelah selesai, saya pun duduk dan bersedia untuk mendengar bacaan khutbah. Namun, bagaikan langit yang bukan selalunya cerah, begitulah juga dengan tahap tumpuan saya ketika itu. Rasa mengantuk yang mula menyerang menyebabkan saya mula menjadi separa sedar (diingatkan, bukannya tidur!).
Secara tiba- tiba, ada seorang jamaah di sebelah menghulurkan sebuah tabung yang ditebuk dari Tupperware kepada saya. Dalam keadaan separa sedar itu, saya secara spontannya mengambil tabung itu dan menghulurkannya pula kepada seorang lagi jemaah lain di sebelah saya.
Lantas, selepas tindakan tersebut diambil, saya rasakan sepatutnya saya menghulurkan seringgit, dua (bukan bermaksud RM1.20) ke dalam tabung tadi. Tapi entah kenapa tak terlaksana pula...
Tetapkan Matlamat
Sepatutnya, sebelum saya bertolak ke masjid menunaikan fardhu Jumaat tersebut, minda dan hati saya perlulah dibulatkan untuk beramal. Matlamat dalam erti kata lain, Niat. Niat mesti jelas. Perbuatan yang jelas matlamat dan hala tujunya akan sentiasa terikat dan terpandu menuju keberhasilan. Perbuatan yang jelas matlamatnya juga akan sentiasa terhindar oleh ruang2 gangguan yang sentiasa mencari peluang.
Jadi, tidaklah pula peluang untuk saya beramal dan mendapat pahala tadi terlepas hanya kerana rasa mengantuk. Haha. Alasan yang agak menjengkelkan betul.
Bila berkata tentang matlamat, suka untuk saya kaitkan dengan persediaan.
Tanpa saya sedari sejak tadi, fikir2 punya fikir, setelah pulang ke rumah (rumah nenek saya) saya dapati bahawa saya tidak pula membawa dompet bersama2 ke masjid tadi.
Inilah yang cuba saya maksudkan perkaitan antara matlamat yang jelas dan persediaan yang rapi.
Punya matlamat yang jelas bermaksud saya jelas dengan apa yang saya ingin lakukan, kenapa saya melakukannya dan apa yang ingin saya peroleh daripadanya. Dan persediaan pula membawa persoalan2 bagaimana saya mampu untuk melaksanakan apa yang telah dihasratkan. Mungkin ‘statement2’ ini dah biasa kita dengar, tetapi juga yang biasa kita pandang remeh.
Kita biasa hadir sesebuah program/aktiviti yang penuh pengisian dan manafaat, tetapi hadir dengan hati yang kosong dan tidak bersedia. Tidak bersedia itu datangnya dari tidak jelas matlamat. Tidak jelas matlamat program mahupun matlamat kenapa kita hadir. Hasilnya, kita menamatkan program tersebut dengan masih memiliki sikap yang sama.
Ini mungkin contoh mudah, banyak lagi contoh lain dalam kehidupan kita sendiri.
Ilmu yang berguna
Ya, Jika matlamat sudah jelas dan keazaman sudah ada, persediaan perlulah dilakukan. Jikalaulah saya ini terlalu lembap ataupun tidak tahu bahawa dengan membawa dompet membolehkan saya berinfaq, sudah tentu ianya takkan terlaksana juga.
Ilmu perlu ada. Biar penuh di dada. Kita perlu tahu juga cara mengaplikasikannya mengikut metodologi2 yang sahih dan bersesuaian. Menuntut ilmu itu kan wajib. Jadi, sampai bila2 pun kita takkan berhenti belajar. Jikalau ilmu di dunia ini sedikit, sempit dan berupaya untuk habis bagaimana kita nak beramal dengan hadis Rasulullah s.a.w. ini,
“Menuntut/mempelajari ilmu itu adalah wajib ke atas setiap Muslim”
(Maksud hadis)
Saya juga belajar untuk tidak mengulangi kesilapan dan juga belajar untuk menjadi lebih baik. Jadi tidak salah untuk tersalah, juga tidak salah untuk belajar dari kesalahan. Apa yang penting adalah terus belajar dan memperoleh pengajaran.
.......................
Jadikan mentajdid matlamat dan niat sebelum melakukan sebarang perbuatan suatu kebiasaan. Juga bersedia dengan rapi dengan segala ilmu yang berpatutan. Kebiasaan ini bukan datang atau ada tiba2, tetapi perlu dipupuk.
Bak kata seorang mak cik (tak ingat namanya), bakat dan kebolehan itu sesuatu yang murah dan terdapat pada sesiapa dan di mana2. Usaha keras dan berterusanlah yang menggilapkannya.
Sekadar ini dari saya, wallahuaklam.
Salam Tahun Baru 2010 dan Awal Muharram 1431...
Ahad, Mei 31, 2009
Selamat
Assalamualaikum w.b.t,
Lama.
Memang lama.
Lama sungguh penulis tidak mencoret beberapa kalimah perkongsian di laman ini.
Mana tidaknya, hakikat sebagai seorang manusia yang sememangnya dilingkari seribu macam permasalahan serta kekurangan ternyata sekali tidak mampu dinafikan penulis. Terlalu banyak kekurangan yang rasanya cuba ditepis, nampaknya cuma bergantung pada masa dan keadaan untuk melihat ianya terhakis.
Bukan itu saja, mencari template yg bersesuaian untuk laman blog ini juga mengambil masa bagi penulis(tak mahir bab2 memilih nih).
Cubalah pembaca bayangkan (aduih, ini baru blog punya cerita)
Hasilnya, tidaklah secantik rekaan blog2 pembaca semua yang penuh warna-warni serta bermacam2 pula kerenahnya, jauh sekali menarik perhatian anda yang membaca.
Tapi doa2nya, penulis mampu mengekalkan tahap istiqomah mencoret sesuatu dilaman ini untuk manfaat diri sendiri dan pembaca hingga masa2 yang akan datang.
Iya, Istiqomah. Pernah dengar bukan?
Rasanya tidaklah asing istilah ini bagi para pembaca semua, kerana mungkin pernah mendengarnya sebelum ini.
Istiqomah didefinisikan sebagai tetap melaksanakan sesuatu secara berterusan.
Dan bagaimana pula hadirnya rasa istiqomah ini?
Minggu lepas, dan minggu2 sebelumnya, ramai sahabat2 penulis telah pun ke IPT2 masing, ada USIM, ada UIA, UiTM pun ada. Tidak kurang juga ke kolej2 matrikulasi di seluruh Malaysia. Tak lupa juga kepada yang bakal bertolak ke luar negara. Selamat penulis ucapkan.
Sekali lagi, cuba anda semua bayangkan, kita semua (yang masih menuntut/lepasan persekolahan) semuanya diajarkan segenap ilmu2 yang berguna dengan penuh didikan mesra penuh kasih juga sambil tak lupa selingan nasihat setiap kali selesai melaksanakan sesuatu perkara.
Teringat dahulu zaman2 penulis bersekolah di Tadika Iman, Tmn Sri Skudai, setiap kali hendak makan, hendak masuk atau keluar tandas, mahupun menaiki bas, ada sahaja doanya yang diajar untuk dibaca bersama2 teman sekelas. Rutin ini berjalan setiap hari. Tidak hairanlah penulis yang sewaktu kecil dahulu pantas menghafal bukan sahaja bacaannya sahaja bahkan maksudnya sekali (sekarang? hehe...). Dan maksud ini juga penting untuk memberi pemahaman lantas merasai kepentingan melakukannya.
Jadi, bagi penulis, kuncinya di sini untuk menzahirkan rasa Istiqomah diri dalam melaksanakan setiap perlakuan dan perbuatan ialah- memahami serta menghayati kepentingan dan juga kesan yang bakal kita terima sekiranya mengamalpraktikkan sesuatu perbuatan tersebut.
Kerana dengan cuma mengetahuinya sahaja tidak memadai.
Harapnya segala ilmu yang pernah diterapkan dalam diri kita semua masih dapat dihayati dengan baik di dalam kehidupan. Segala amalan2 fardhiyyah masih mampu berjalan seiring dengan kemahuan. Sesungguhnya ilmu itu mampu terbocor keluar dari kotak minda dan hati, selamatkan ia dengan kesungguhan beramal yang tak pernah henti.
Rugi, memang rugi jikalau bertahun2 dididik dengan pelbagai macam bentuk didikan dan pentarbiayahan tetapi masih lagi ditakuk yang lama. Tambahan pula ianya menjadi kabur selepas menikmati suasana baru yang ternyata jauh berbeza. Dan beruntunglah pula bagi sesiapa yang terselamat pada pengakhirannya.
Kedengaran Istiqomah seakan2 mudah, hakikatnya payah.
Namun tiada yang mustahil bagi sesuatu yang dilakukan kerana Allah.
Astaghfirullah...
Doakan penulis juga ya!
Sekadar ini,
Wassalam...
Sabtu, Mac 07, 2009
Bila bicara bermula...
Lidah terkelu,
bibir membisu,
mulut terkatup,
minda tersentap,
fikiran melayang.....
tatkala hati mula membisikkan...
sesuatu yang bukan perilaku kebiasaan,
sesuatu yang tempatnya di luar kotak pemikiran,
sesuatu yang kerap ditemukan,
tetapi jarang dizahirkan...
Cuba renungkan corak ini,
kelalaian kita menjadi suatu yang penuh kebiasaan,
kealpaan kita menjadi sikap untuk sehari-harian,
keasyikan kita pada makhluk Tuhan menjadi pokok kehidupan,
fanatik dan obsesi keterlaluan menjadi pengawal mengatur haluan,
Dunia sememangnya sebahagian daripada permainan...
Cuba fikirkan fakta yang biasa kita dengar ini;
Allah telah memaklumkan segenap khabar gembira kepada manusia,
Allah telah menyediakan prakarsa2 bagi menggengam bahagia,
Allah telah menciptakan manusia sebagai sebaik2 kewujudan,
Allah menyiapkan segala2 nya....
Kita pula idam2kan,
Kejayaan yang penuh perhiasan kebanggaan,
Kesenangan yang mampu mengangkat corak kehidupan,
Kemudahan yang jauh sekali berbaur secoret cabaran,
Keindahan yang kalau boleh berkekalan....
Sebenarnya sahabat,
Tidak menjadi kesalahan,
Jika kepingin memasang sebarang impian,
Lebih2 lagi mahukan ianya menjadi kenyataan....
Bukan apa,
Diri ini juga kuat bertanya sesuatu yang ini,
Sekiranya kita memang mahukan sesuatu milik Tuhan,
Tentu saja kita arif tentang selok-belok cara mendapatkannya.
Sejujurnya,
Sekadar mahu berkongsi satu soalan;
Untuk mendapatkan sesuatu itu,
Sudahkah kita berusaha memenuhi syarat2 ketetapan Tuhan?
Selasa, Disember 30, 2008
Sebaik- baik mata pencarian...
Sebenarnya pembaca2 yang setia sekalian, teramatlah banyak ruang dan peluang di sekeliling kita yang boleh dimanipulasikan untuk ditukar menjadi syiling- syiling sen mahupun not-not Ringgit Malaysia. Hatta, keuntungan hasil daripada modal sifar sekalipun adalah realistik untuk dicapai. Jadi, untuk itu, apa yang perlu dilakukan sekarang? Berniagalah jawabnya!
Penulis pernah juga terdengar hadis yang penulis sendiri lupa parawinya, ada mengatakan yang maksudnya lebih kurang macam gini,
"9 daripada 10 mata pencarian datangnya daripada perniagaan aka perdagangan"
Kalau nak diikutkan rasa hati nak aje penulis ambil course yang related dengan bisnes bila menjejakkan kaki ke IPT nanti sebab bidang perniagaanlah antara pekerjaan yang Rasulullah sendiri mention dalam hadis. Insya Allah, banyak keberkatannya tuh bila mengikuti Sunnah Nya.
Bercakap tentang perniagaan, penulis ingin berkongsi secebis ilmu penulis mengenai Bisnes aka perkhidmatan aka apa sahaja yang boleh menghasilkan wang. Paling penting, of courselah niat kerana Allah. Rasa atas faktor ini sahaja kita boleh bezakan sendiri cara perniagaan golongan muslim kita dengan peniaga2 non muslim lain yang begitu kukuh asas mereka di dalam sektor ini.
Ada beberapa perkara sebenarnya yang patut diambil kira dalam menjalankan perniagaan. Ini kerana ternyata perniagaan yang terancang serta jelas matlamat dan sasarannya mampu melangkah lebih jauh. Manakala yang sebaliknya hanya akan menanggung risiko kerugian mahupun bebanan hutang yang keliling pinggang umpama memakai tali pinggang ketat sehingga menyebabkan kita sukar menghela nafas mengeluarkan gas karbon dioksida untuk kegunaan tumbuh- tumbuhan.
Formula P ini bukanlah diasaskan penulis tetapi hanya bersumberkan fakta luar yang diperoleh dan didengar sendiri. Ada yang mendakwa formula P ini ada 4 jumlah keseluruhannya dan ada juga yang mengatakan 5 atau 6 jumlah total semua P ini. Apa yang penting kita manfaatkan kesemuanya untuk kebaikan bersama, Insya Allah.
6 Formula P tersebut ialah :-
1. Product
Kita pelulah menentukan sendiri barangan atau perkhidmatan apa yang diperdagangkan. Produk adalah sesuatu faktor penting yang tinggi peratusnya dalam menentukan untung rugi sesuatu perniagaan. Ianya perlulah jelas agar pelanggan dapat membuat pilihan yang tepat ke atas produk yang diuar-uarkan bertepatan dengan kualiti produk tersebut. Produk tidak semestinya mahal bahkan hanya dengan menggunakan modal sifar dan berbekalkan sumber tenaga serta kemahiran yang ada sahaja untuk dipasarkan, pun sudah memadai untuk mengaut keuntungan bermargin tinggi.
2. Price
Price ataupun harga dalam bahasa kepulauan Tanah Melayunya adalah sesuatu yang mampu menarik perhatian ramai dalam masa yang sama barangan tersebut tidaklah diragui kualiti dan keupayaannya. Produk yang mempunyai harga sebeginilah yang sedang dicari- cari pelanggan kerana manfaatnya akan kembali jua kepada mereka, dalam erti kata yang lain- BERBALOI. So, pandai-pandailah letak harga. (Penulis tak pakar bab2 nih...)
3. People
Dalam menanam hasrat ingin memasarkan apa2 jua jenis produk, suatu perkara yang perlu kita consider ialah pihak yang disasarkan untuk membeli, menjenguk ataupun at least tertarik dengan produk milik kita. Antara elemen yang patut dipertimbangkan ialah umur, perkara2 yang people tersebut minati dan kekurangan2 yang terdapat pada people yang mereka sendiri ingin perbaiki kekurangan tersebut. Sepatutnya produk2 anda berlegar di sekeliling kehendak semasa people supaya keluaran kita tidaklah mendatangkan hasil yang sia- sia jauh sekali tidak terdapat satu unit barang pun yang mampu terjual.
4. Place
Place a.k.a tempat merangkumi kawasan yang sepatutnya menjadi zon keuntungan kepada pemilik perniagaan. Perkara2 asas perlulah dititik beratkan seperti kebersihan, keselamatan, kesihatan serta mampu menjamin kebajikan diri pelanggan sewaktu berada di situ. Paling tidak tempat tersebut sudah sedia dilalui orang keramaian supaya kehadiran serta kewujudan anda dan produk anda tidaklah hanya lebih sekadar sebatang tunggul kayu yang menunggu masa untuk ditebang. Barulah peluang dan ruang boleh terbuka dengan luasnya.
5. Packaging
Kesungguhan anda dalam elemen ini sebenarnya dapat dinilai daripada produk yang anda hasilkan yang sudah siap sedia untuk dijual. Kekemasan packaging yang bagus selalunya setidak-tidaknya mampu menanamkan hasrat dalam hati pelanggan untuk membelinya jika tidak pada hari tersebut, mungkin di lain hari. Produk yang betul2 bermutu dan bernilai tinggi adakalanya tidaklah terlau laris hanya disebabkan faktor packaging yang disiapkan hanya sekadar tangkap muat sahaja. Hendaklah diingat, packaging mampu mempengaruhi pelaggan.
6. Promotion
Dalam konteks menguar-uarkan produk, promosi perlu baik. Pelbagai cara mudah untuk menjalankan promosi seperti contoh, mengedar pamplet, mengiklankannya di laman- laman web mahupun di akhbar- akhbar harian. Promosi yang dijalankan pula perlulah menyeluruh serta menyentuh setiap aspek penting yang berkemungkinan mampu menarik perhatian pembeli. Tetapi tidak pula terlalu terperinci sehingga mengakibatkan pemikiran pelanggan menjadi serabut dan sukar untuk dibaca dan difahami. Lebih malang lagi, mereka mungkin tidak akan membeli apa-apa sahaja produk keluaran anda selepas itu.
Itulah antara 'P' yang sedikit sebanyak boleh membantu peniaga- peniaga peringkat permulaan untuk dijadikan panduan dalam merancang perniagaan yang sukses serta meraih keuntungan kewangan dan juga pahala amalan-amalan yang ikhlas.
Kemampuan Muslim dalam industri perniagaan global tatkala ini tidaklah terlalu menonjol jika hendak dibandingkan dengan pihak-pihak lain. Harus diingat, KITA sebagai seorang MUSLIM juga punya kemampuan untuk melakukan seperti yang lain. Malah, mampu bergerak lebih jauh sebenarnya. Sebabnya, kita punya faktor lain yang lebih berkuasa menentukan turun naik perniagaan kita-Kebergantungan kita kepada ALLAH perlu teguh dan DO'A pula sebagai senjata. Jangan segan- segan meminta, Allah sayangkan hambanya yang memohon kepadanya dalam pada masa yang sama tidak berlagak sombong.
Ingatlah ini hanyalah sekadar wasilah ringkas dan janganlah pula bermati-matian mengenepikan faktor lain hanya sekiranya kes-kes tertentu yang dilalui pada waktu-waktu tertentu didapati bercanggah daripada formula diatas.
Seharusnya, pembaca juga perlu ingat, selain kita mengatur sesuatu untuk kesenangan diri, Allah juga ada merancang dan menetapkan sesuatu lebih baik untuk kita. Ketahuilah, perancangan Allah itu sebenarnya adalah lebih sempurna.
Renung- renungkanlah bersama dan semoga berjaya mengamalkannya dengan Ikhlas...
Wallahu'alam.










